Thursday, December 8, 2011

TERIMA KASIH KAWAN


Angin sepoi menyapa wajahku. Kicau burung kedengaran. Sungguh hebat ciptaan Allah. Aku termenung sendirian. Tidak dapat menerima hakikat yang esok kami bakal berpindah ke Bandar. Tiada lagi bunyi cengkerik, tiada lagi kokokan si ayam di pagi hari. Aku bakal merindui suasana kampung ini.
“Syu, sudah habis berkemas” Tanya ibu di luar pintu bilik.
“Hampir siap, ibu boleh kita balik ke sini lagi nanti?” soalku sedih kepada ibu.
“InsyaAllah boleh. Ini kan kerja abah. Kita perlu berada disisi abah. Syu kena faham itu” Ibu mengusap kepalaku.
Abahku bekerja sebagai polis. Dari kecil lagi kami sering berpindah mengikut tuntutan pekerjaan abah. Kali ini kami bakal berpindah ke Bandar. Aku sekali lagi akan menempuh hidup bersama kawan  baru, jiran baru dan sekolah baru. Teringat aku dengan surah An-Nisa ayat 19 ‘Mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.’ Mungkin dengan penghijrahan ke tempat baru ini ada hikmahnya.
Keesokan pagi kami bertolak ke Bandar, perjalanan kami mengambil masa selama 5 jam. Sesampainya di rumah baru, kami berkemas mengangkat barang ke dalam rumah.
“Assalamualaikum”
Aku menoleh kearah suara yang member salam. Aku hanya tersenyum. Jiran baru kami, seusia abah nampaknya menghulur salam kearah abah dan dia datang menolong abah mengangkat barang. Setelah mengangkat semua barang jiran baru kami iaitu Pak Cik Yusof mengajak kami sekeluarga makan malam dirumahnya. Pada mulanya abah seperti berat hati, tetapi kesungguhan Pak Cik Yusof membuatkan abah berubah fikiran. Usai solat maghrib, aku, ibu dan abah ke rumah Pak Cik Yusof.
“Assalamualaikum” Abah member salam.
“Waalaikumusalam” seorang wanita membuka pintu. Isteri Pak Cik Yusof agaknya.
“Jemput masuk, Yusof ada didalam” jemput isteri Pak Cik Yusof sambil menyalami ibu dan aku.
“Panggil saya Rahmah” isteri Pak Cik Yusof mengenalkan diri.
“Saya Zura. Banyak masak ni Rahmah. Susah-susah sahaja”  tutur ibu sambil tersenyum.
“Jiran baru, kena raikan” ujar Mak Cik Rahmah
“Rahmah berdua sahaja. Sunyi rumah” Tanya ibu.
“Saya ada 3 anak, 2 orang dah bekeluarga tinggal yang bongsu sahaja. Ke rumah kawan katanya. Kejap lagi balik la. Biasalah budak baru nak kenal dunia” seloroh Mak Cik Rahmah.
Aku hanya diam sambil memerhati keliling rumah Mak Cik Rahmah. Susunan perabot yang cantik dan kemas. Kami dihidangkan dengan hidangan nasi ayam madu dan pelbagai kuih muih. Dalam jam 10.00 malam kami sekeluarga pulang ke rumah.
Aku ke sekolah baru hanya ber jalan kaki kerana sekolah baruku hanya di hujung kawasan perumahanku sahaja. Gementar juga aku untuk memulakan persekolahan disini. Aku dibawa oleh guru kelasku ke kelas baru aku. Seperti biasa aku terpaksa mengenalkan diri dihadapan semua pelajar kelasku. Aku memandang sekeliling kelas dengan penuh mengharap, mengharap keadaan di kelas baru ini baik-baik sahaja. Aku ditempatkan di belakang sekali.
“Assalamualaikum” hulur tanganku untuk bersalam dengan pelajar yang duduk di sebelahku.
“Waalaikumusalam, Wana “ teragak-agak dia menerima huluran salamku tetapi sempat mengenalkan dirinya.
“Bolehlah Wana, tunjuk ajar apa yang perlu ya” ujarku ramah.
“Ya, insyaAllah”
Kelas bermula dengan subjek Matematik Tambahan. Aku sedikit kaget, takut aku ketinggalan kerana aku masuk ke sekolah ini di pertengahan tahun. Pelajaran bermula dengan subjek Trigonometri.
“Ada siapa yang ‘volunteer’ untuk selesaikan soalan ini” Tanya Cikgu Nisa guru matematik kami.
“Budak baru nak cuba cikgu” terdengar suara budak lelaki dari arah tepi ku.
Aku beristigfar, kenapa di hari pertamaku!
“Ya, Syu silakan kedepan” Cikgu Nisa memanggil. Ya, aku agak sedih tetapi aku tetap berjalan kedepan cuba untuk menyelesaikan masalah Trigonometri di papan putih di hadapan.
“Ok, bagus, ada soalan yang lain” Tanya Cikgu Nisa sambil memandang semua anak muridnya.
Seisi kelas hanya diam.
“Diam tak ada soalan la nampaknya. Terima kasih Syu” Cikgu Nisa terus menerangkan langkah kerja ku dihadapan.
“Kalau budak baru masuk memang selalu la kena usik. Jangan ambil hati sangat dengan Faiz tu” ujar Wana sambil memperkenalkan aku dengan Faiz empunya nama yang menyebut namaku sebentar tadi.
“InsyaAllah, aku cuba bertahan” gumamku perlahan.
Sesi persekolahan tamat untuk hari ini, aku berjalan pulang seorang diri. Semasa aku berjalan pulang, ada sebuah motosikal lalu di sebelah ku sambil membunyikan hon yang kuat, baru aku perasan itulah Faiz yang mengenakan aku dalam kelas matematik tadi. Aku jadi kelu apabila melihat motosikal itu masuk ke laman rumah Mak Cik Rahmah, jiranku! Mungkin ini anak bongsu Mak Cik Rahmah.
Di sekolah, aku cuba menyesuaikan diri dengan suasana baru. Wana yang banyak menolongku.
“Wana, aku nak tanya sesuatu” ujarku perlahan.
“Kenapa Faiz tu selalu sangat usik pelajar sekolah ini, dan kadang-kadang aku tengok semua orang seolah tak peduli dan tak kisah bila diusik” soalku
Aku sebenarnya rasa hairan dengan sikap pelajar dan guru yang seolah-olah tidak mengambil peduli dengan sikap Faiz. Dia selalu ponteng kelas, dia selalu mengusik pelajar perempuan, dan yang paling aku tidak suka dia pernah menyuruh Wana menyiapkan kerja sekolahnya!
“Erm, susah hendak cakap. Faiz menghidap barah otak. Jangka hayatnya tak lama. Lagi setahun sahaja. Jadi kami semua malas hendak panjangkan cerita. Biarlah dia” ujar Wana. Aku terdiam. Tiba-tiba wajah Mak Cik Rahmah menyapaku.
“Tetapi itu bukan sebab dia boleh suruh kau buat macam-macam untuk dia” jawabku tegas.
“Jomlah Syu, loceng dah nak bunyi pun” Wana seolah tidak mahu memanjangkan cerita.
Sesampainya kami ke kelas, aku lihat penuh buku-buku atas meja Wana, lagi sekali Faiz mempergunakan Wana untuk menyiapkan kerja sekolahnya. Faiz datang kemeja kami.
“Esok aku nak kau siapkan. Cepat sikit” ujar Faiz dengan selamba kepada Wana.
Aku dengan tanpa sedar memerhatikan Faiz dengan pandangan yang agak marah.
“Kau kenapa pandang aku macam tu? Kau pun nak tolong siapkan kerja aku?” soal Faiz kepadaku.
Aku hanya diam dan terus melakukan kerja aku tanpa menghiraukan Faiz.
Di rumah, selepas kami sekeluarga makan malam aku mentelaah pelajaran seperti biasa di dalam bilik tiba-tiba telefonku bergetar , Wana yang menelefonku.
“Assalamualaikum Syu”
“Waalaikumusalam Wana. Kenapa?” soalku laju.
“Syu, aku terpaksa balik ke kampung, nenek aku sakit tenat. Aku dah telefon Cikgu Nisa tadi. Nanti balik kau ajarkan aku apa yang aku tertinggal ya” pinta Wana
“InsyaAllah Wana. Jangan sedih ya Wana”
“Aku insyaAllah ok. Terima Kasih Syu. Assalamualaikum”
“Waalaikumusalam” aku menutup bicara.
Agak janggal aku belajar tanpa Wana, kerana kami banyak berbincang bersama. Aku ingin ke perpustakaan selepas habis kelas, kerana ingin mencari maklumat untuk tugasan baru kami. Sedang aku bersiap mengemaskan beg sekolahku Faiz menuju kea rah mejaku.
“Siapkan kerja aku” sambil melemparkan bukunya ke arahku.
Aku diam. Mengumpul keberanian untuk mengatakan tidak kepadanya.
“Aku kesini atas tanggungjawab aku sebagai pelajar, bukan bahan untuk siapkan kerja kau. Maaf”  Bergetar mulutku menuturkan ucapan itu. Aku nampak riak ketidakpuasan hati Faiz terhadapku.
“Kau jangan kurang ajar dengan aku” tempik Faiz sambil menepuk meja.
“Aku kurang ajar dengan orang yang perlu diajar” ujarku sambil terus bergegas ke perpustakaan.
Aku mengambil tempat paling hujung konon untuk tidak diganggu, tetapi salah jangkaanku, Faiz datang mengekoriku. Aku cuba bertenang.
“Kau dan mencabar aku” katanya dalam nada rendah tetapi tegas. Mungkin dia mengawal suaranya kerana kami masih di perpustakaan.
“Apa salah aku sebenarnya” aku cuba berlembut. Api disiram dengan api akan terbakar. Aku terpaksa berlembut.
“Tak ada orang yang pernah menolak apa yang aku suruh, tapi kau”
“Faiz, kau tahu kau ini ada kelebihan, kau lain dari yang lain, kau dapat apa yang orang lain tak dapat” soalku dengan nada rendah
Faiz menjegilkan matanya kepadaku.
“Penyakit ini kau kata kelebihan? Penyakit ini kau kata lain dari yang lain?”
“Kau pernah penyakit itu penghapus dosa?”
Aku lihat Faiz diam. Aku tidak dapat mengagak apa sebenarnya yang ada dalam kepalanya.  Tetapi niatku satu memperbetulkan kembali keadaan.
“Hadith riwayat Bukhari ada mengatakan Tiada seorang mukmin yang rasa sakit (kepayahan), diserang penyakit atau kesedihan (kesusahan) sampai duri yang menusuk (tubuhnya) kecuali dengan itu Allah menghapus dosa-dosanya”
“Tetapi kenapa aku, kenapa aku!” Faiz masih tidak menerima kenyataan.
“Sebab kau insan terpilih. Allah pilih kau untuk diuji, untuk lihat sejauh mana ketabahan kau, kesabaran kau, tak ramai yang dipilih”
“Kau tahu aku ada lagi setahun untuk hidup? Ini kau kata ujian” ujar Faiz menahan sebak
“Kau patut sangat bersyukur kerana kau tahu dan dapat mengagak bila masa kau akan diambil olehNya” aku masih cuba berlembut.
“Kenapa kau cakap begitu”
“Contohnya orang yang tidak tahu ajal mereka, banyak dosa yang dilakukan dan belum sempat bertaubat, ajal dah datang. Tapi kau, kau boleh agak masa kau, setahun kau boleh gunakan untuk bertaubat, mendekatkan diri dengan Allah banyak ganjarannya Faiz”
“Kau cakap senang Syu. Kalau aku dah terlantar nanti macam mana?”
“Kau tahu ada hadith dari Abu Hunaifah yang menjelaskan kalau kau sakit dan tak boleh nak lakukan kebaikan, maka Allah berfirman kepada malaikat catatlah pahala amalan dan kebaikan yang biasa kau lakukan ketika kau sihat”
Faiz hanya diam seolah merenung kembali apa yang aku katakana. Aku cuba menambah.
“Hidup ini sebenarnya ujian. Ujian yang kita dapat berbeza-beza. Ada yang diberi ujian kekayaan, kemiskinan, kesihatan, sempurna atau cacat anggota badan, cerdik, kecantikan rupa paras dan macam-macam lagi. Semua tu ujian. Dalam nak menghadapi ujian ini, ada yang akan bersifat gusar, keluh kesah, tidak tenteram. Ada juga yang sombong, angkuh, dan perasaan ini menjadi jiwa kita tidak tenang”
Faiz diam lagi.
“Jawapan dan penawar pada ujian ini adalah sabar dan syukur. Allah mengurniakan rezeki pada kita dalam pelbagai bentuk”
Aku lihat Faiz hanya menundukkan wajahnya.
“Penyakit harus dihadapi dengan sikap, pemikiran dan perilaku yang positif. Kalau kita selalu berlaku positif, InsyaAllah hal yang positif akan datang kepada kita. Bersangka baiklah dengan Allah”
Kami masing-masing terdiam. Cukuplah setakat ini aku ‘berhujah dengannya’ aku tidak mahu terus-terus menghentamnya, aku Cuma mahu dia memahami dan memperbetulkan kembali sikapnya.
Sudah seminggu faiz tidak datang ke sekolah, di rumah juga aku langsung tidak nampak kelibatnya. Aku sebenarnya gusar takut kalau aku yang menyebabkan dia berkurung di dalam rumah.
Ketika aku sampai dirumah, ibuku sedang menyediakan makan tengah hari kami.
“Tadi Mak Cik Rahmah datang, hantar kuih pelita ini” ibuku memulakan bicara.
“Faiz dah seminggu tak datang kelas bu” aduku.
“Mak Cik Rahmah pelik, seminggu ini berkurung dalam bilik, tapi Alhamdulillah dia kata dia dengar Faiz baca Al-Quran, solat pun dah tak tinggal. Seronok Mak Cik Rahmah bercerita tadi” senyum ibuku.
Alhamdulillah, aku bersyukur mendengarnya. Aku tidak kisah kalau bukan aku yang menyedarkannya, tapi mungkin ada sebab lain yang berlaku atas perubahannya.
Aku masuk kebilik, seperti biasa aku akan melayari internet dan tersenyum membuka ‘facebook’. Kenapa remaja sekarang mengilai ‘facebook’ termasuk aku? Aku lihat ada mesej baru di akaun ‘facebook’ ku. Faiz!
“Assalamualaikum Syu, Terima kasih, sedikit sebanyak kau mengajarku dan menyedarkanku. Alhamdulillah”
Pendek sahaja mesej dari Faiz, tapi sudah cukup buat aku tersenyum. Buku yang aku beli untuk kuhadiahkan kepadanya masih aku gengam. Semoga buku ‘Indahnya Sabar dan Syukur’ ini akan menjadi peneman Faiz nanti.

No comments:

Post a Comment